Sabtu, 2008 April 05

5 Sebab Kenapa Anda Tidak Produktif


Tidak kira jika anda seorang blogger, internet marketer ataupun kerani, produktiviti merupakan satu faktor penting dalam kehidupan seharian. Tanya diri anda, pernahkah anda merasakan seperti tidak kira bagaimana sekalipun anda seperti tidak dapat menyiapkan sesuatu perkara dengan teratur. Pendek kata, anda rasa seperti anda adalah seorang yang tidak poduktif. Mengecewakan, bukan? Sebaiknya, bertindak serta-merta agar pekerjaan yang anda lakukan tidak menjadi sia-sia, lebih-lebih lagi jika anda seorang blogger. Seorang blogger harus menjadi seorang yang produktif jika anda inginkan kejayaan buat jangka masa panjang. Produktiviti boleh menjadi suatu perkara yang amat susah dicapai walaupun anda berada dihadapan majikan apatah lagi jika anda bekerja di rumah dan tiada siapa yang akan mengawal jadual anda.

Apa yang anda perlu lakukan ialah kenal pasti masalah anda. Di sini saya kongsi bersama 5 sebab yang biasa menjadi punca kepada sikap tidak produktif:

Sebab 1: Anda Benci Apa yang Anda Lakukan

Jika anda tidak mempunyai minat yang mendalam terhadap apa yang anda lakukan, maka sesuatu pekerjaan itu akan menjadi satu cabaran jika tidak beban yang berat. Anda akan memandang pekerjaan anda itu sebagai satu tugasan. Dengan itu, anda akan sentiasa dibayangi perasaan malas dan segala yang anda lakukan tidak akan menjadi hasil yang terbaik.

Sebab 2: Anda Silap Dalam Menentukan Apa yang Penting dan Apa yang Tidak

Dalam hal ini, anda mungkin boleh jadi sibuk bekerja sehari suntuk, namun hasilnya tidak seberapa. Kenapa? Ini kerana anda silap dalam menentukan perihal yang penting dengan perihal yang tidak. Dengan erti kata lain, anda menggunakan masa anda untuk melakukan kerja yang sia-sia di mana pada masa yang sama anda sepatutnya menumpukan perhatian kepada benda lain yang lebih memerlukan perhatian anda. Ini berkaitan juga dengan pengurusan masa. Ianya penting jika anda mahu menjadi lebih produktif.

Sebab 3: Anda Mudah Hilang Tumpuan

Ini bergantung kepada keupayaan anda dalam menumpukan perhatian pada sesuatu perkara. Jika anda merupakan seseorang yang mudah hilang tumpuan, cuba jauhkan diri anda daripada elemen-elemen yang boleh mengganggu tumpuan anda. Contohnya, jangan cuba menulis blog anda dihadapan tv yang sedang terpasang. Ataupun matikan telefon bimbit anda agar sms yang datang tidak akan mengganggu. Ini memerlukan kekuatan dalam diri sendiri dan juga disiplin. Jika anda tidak boleh mengatasi masalah ini, bermakna anda akan berhadapan dengan masalah besar buat jangka masa panjang.

Sebab 4: Terlalu Banyak Masa ‘Rehat’

Bagi kebanyakan pekerja di pejabat, dari masa ke semasa mereka akan berhenti membuat kerja dan ambil sedikit masa untuk berehat, berbual, buat air kopi ataupun keluar sebentar untuk merokok dan sebagainya. Kerana ada majikan yang memerhati, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berehat terlalu lama. Namun, jika anda bekerja sendiri ataupun bekerja di rumah, tiada sesiapa yang akan memerhatikan atau memarahi anda jika anda berehat terlalu lama. Jangan salah faham, tidak salah bagi anda untuk berehat. Tetapi, perlu ada hadnya.

Sebab 5: Gaya Hidup Anda Tidak Sihat

Anda barangkali menjalani gaya hidup yang tidak sihat seperti keluar sehingga lewat malam dan tidak mendapat tidur yang cukup. Walaupun anda bekerja sendiri, tidur yang cukup dan kesihatan tetap penting. Memang benar anda boleh mula bekerja bila-bila anda suka dan jika anda rasa tidak sihat sekalipun, anda mungkin fikir ianya tidak mengapa kerana anda boleh tetap bekerja dengan laptop anda di atas katil. Tapi anda perlu ingat, kesihatan dan kesegaran tubuh badan berkait rapat dengan minda kita. Jika badan kita tidak sihat, otak kita tidak cergas. Dan sebagai seorang blogger, otak yang cergas merupakan satu aset yang amat berharga.


Selasa, 2008 Februari 19

Kebaikan dan Keburukan Menjual Ruang Iklan Secara Terus di Laman Web Anda


Ramai yang mempertikaikan samada menjual ruang pengiklanan secara terus merupakan satu cara yang bagus untuk memanfaatkan laman web anda. Mencari pengiklanan dan bersetuju dengan syarat dan keadaan masing-masing bukanlah satu proses yang mudah. Di sini saya kongsi bersama pengalaman saya berkenaan dengan perkara ini.

Kebaikannya:

Dengan menjual ataupun menyewakan ruang pada laman web anda secara terus, anda boleh menjana keuntungan lebih. Apa yang saya maksudkan di sini ialah, katakanlah anda memaparkan iklan yang diuruskan oleh Google Adsense, 50% daripada jumlah yang dibayar oleh pemilik iklan tersebut akan dipotong oleh Google sebagai bayaran mereka. Jika anda berurusan terus dengan syarikat tersebut, anda akan mendapat keseluruhan bayaran tanpa perlu berkongsi dengan pihak ketiga.

Dengan menjual atau menyewa ruang iklan secara terus, anda akan lebih berkemampuan untuk menentukan jenis iklan dan kedudukan iklan tersebut mengikut kemahuan anda. Anda juga boleh menentukan iklan apa yang dianggap tidak relevan. Pendek kata, anda mempunyai kawalan sepenuhnya keatas iklan-iklan yang dipaparkan.

Kredibiliti laman anda akan meningkat apabila terdapat syarikat-syarikat sanggup membayar untuk meletakkan iklan di laman anda. Ini memberi gambaran bahawa laman web anda berkualiti dan mempunyai trafik yang kukuh. Dengan ini laman anda akan kelihatan lebih profesional.

Keburukannya:

Ianya mengambil masa yang banyak. Walaupun menjual ruang iklan mempunyai banyak kelebihan, ianya bukanlah satu tugas yang boleh diambil remeh. Anda perlu meluangkan masa untuk mencari pengiklan, berbincang, mengruskan hal-hal admin seperti pembayaran, pengetahuan statistik, menghantar laporan dan sebagainya.

Menjual ruang iklan tidak semudah memaparkan iklan melalui Google Adsense. Anda perlu mempunyai laman web yang mempunyai sekurang-kurangnya PR5, popular, mempunyai reka bentuk yang profesional dan isi kandungan yang benar-benar menepati cita rasa pengiklan tersebut.

Tidak stabil. Melainkan anda membuat perjanjian bahawa ruang itu disewakan dalam masa yang panjang, di mana ianya amat jarang berlaku, anda akan terpaksa mencari pengiklana baru setiap bulan. Kadang-kala setiap minggu. Ini boleh menjadi satu proses yang berulangkali dan ada masanya amat menyusahkan.

Oleh itu, jika laman web anda dibina berasaskan hobi dan sekadar untuk mengisi masa lapang, menjual ruang iklan secara terus bukanlah satu langkah yang digalakkan.


Jumaat, 2008 Januari 18

5 Perkara Yang Perlu Anda Ketahui Sebelum Memulakan Bisnes Internet Marketing


Bekerja sendiri merupakan impian ramai, apatah lagi jika pekerjaan tersebut boleh dilaksanakan di rumah sahaja. Bayangkan, tidak ada majikan, tidak perlu bersesak di dalam bas setiap hari ataupun melalui kesesakan lalu lintas. Terdapat pelbagai pilihan berkenaan dengan bekerja di rumah yang boleh anda cuba, dan salah satu daripadanya ialah Internet marketing. Dan di dalam post ini, saya ingin terangkan 5 perkara yang perlu anda ketahui sebelum anda mengambil keputusan untuk berkecimpung di dalam Internet marketing.

  1. Internet marketing merupakan sejenis bisnes.
    Sama seperti perniagaan lain diluar sana, ianya akan mengambil masa untuk membangun dan menjana pendapatan tetap. Ramai yang salah anggap dan menyangka dengan membina perniagaan melalui internet, mereka akan dapat menjana keuntungan dalam tempoh masa yang pendek. Jangan bermimpi! Jika betullah Internet marketing boleh membuatkan anda kaya dalam masa 2 hingga 3 minggu sahaja, pastinya sudah ramai jutawan di sekeliling anda.

  2. Ketahui apa yang anda sukai.
    Ini merupakan satu faktor penting. Sia-sia sahaja jika anda berhenti kerja yang anda benci hanya untuk melakukan pekerjaan lain yang tidak anda gemari juga. Satu kelebihan Internet marketing ialah anda boleh memilih niche anda, tidak kiralah samada ianya berkaitan dengan haiwan, sukan, fesyen dan sebagainya. Senaraikan apa kegemaran anda dan pilih satu yang benar-benar anda rasa bersesuaian.

  3. Cari seorang mentor ataupun guru.
    Ini mungkin agak susah kerana internet dipenuhi dengan mereka yang berlagak seperti seorang ‘guru’ tetapi sebenarnya hanya ingin menjual maklumat kepada anda dengan harga yang tinggi. Namun, masih ada mereka yang benar-benar ingin membantu. Apabila anda jumpa seorang mentor yang bagus, pelajari sebanyak yang mungkin dari mereka. Jangan malu untuk bertanya.

  4. Ambil tahu dan jangan memandai-mandai.
    Terdapat pelbagai maklumat, tips dan helah di dalam Internet Marketing. Adalah penting bagi anda untuk betul-betul memahami bagaimana Internet marketing berfungsi. Buat kajian secara mendalam dan dapatkan rekomendasi dan cadangan daripada sumber-sember yang boleh dipercayai. Jangan terus buat sesuatu tanpa fahaman yang menyeluruh kerana ini boleh merugikan diri anda dalam sekelip mata.

  5. Berapa lama masa yang sanggup anda luangkan?
    Seperti yang saya katakan tadi, Internet marketing sama seperti perniagaan lain. Ianya akan mengambil masa sebelum anda mula menjana pendapatan secara stabil. Oleh itu, jika anda sudah mempunyai sebuah perkerjaan, jangan terus berhenti serta-merta. Sebaliknya, luangkan beberapa jam setiap hari untuk memulakan bisnes ini secara konsisten terlebih dahulu.
Nah! Jika anda sedang menimbang-nimbang untuk berkecimpung di dalam bidang Internet marketing, jadikan post ini sebagai panduan. Selamat berjaya!


Cara-cara Untuk Menangani Komen-Komen “Cari Gaduh”


Jika anda merupakan seorang pemilik blog yang mempunyai trafik yang tinggi anda mungkin mempunyai pengalaman di mana sesetengah pembaca blog anda meninggalkan komen-komen yang pedas dan berunsur cari gaduh. Di sini saya ingin cadangkan beberapa cara bagi anda untuk menangani komen-komen seperti ini.

  1. Tenangkan diri anda sebelum memberi respon. Kebanyakan mereka yang meninggalkan komen-komen seperti ini sememangnya mengharapkan anda merasa marah dan melawan kata-kata mereka. Jangan terperangkap. Sebaliknya, balas komen mereka selepas anda menenangkan diri anda agar tidak terjadi pergaduhan yang boleh menjejaskan kredibiliti blog anda.

  2. Bertolak ansur dengan kritik daripada pembaca blog anda. Jangan cepat melatah. Ambil pengajaran daripada kritik dan komen-komen yang ditinggalkan.

  3. Bertanggungjawab terhadap post anda. Biasanya pembaca tidak akan meninggalkan komen-komen pedas tanpa sebab. Jika alasan mereka relevan dan membuktikan bahawa anda sememangnya silap, jangan biarkan ego anda menjadi penghalang seterusnya membuatkan anda bersikap seperti menegakkan benang yang basah. Jangan malu untuk meminta maaf.

  4. Jangan buang komen-komen ini serta merta. Kadangkala komen-komen ini boleh membuatkan blog anda kelihatan lebih aktif dan menarik. Walaubagaimanapun, jika komen tersebut mengandungi bahasa yang terlalu kasar dan boleh menyinggung perasaan pembaca lain, sebaiknya padamkan sahaja.

  5. Anda boleh membalas komen-komen ini dengan menukarkan perbualan kepada sesuatu yang lebih positif. Masukkan sekali gurauan bagi mengurangkan kemarahan pembaca tersebut. Respon dengan ramah. Jika kena caranya, apa salahnya bersetuju serba sedikit dengan pandangan mereka.

Jangan lupa, pemberi komen ini semuanya manusia biasa seperti anda juga. Mereka mempunyai perasaan, dan kena pada gaya, anda boleh melembutkan hati mereka dengan komen balas yang bijak. Disamping membuatkan anda kelihatan lebih berintegriti di mata pembaca lain, si pemberi komen juga mungkin akan menjadi pelawat setia blog anda.


Isnin, 2008 Januari 07

3 Faktor Yang Perlu Ada Pada Laman Mesra Pengguna (User-Friendly)


Gol penting bagi sesebuah laman web ataupun blog adalah untuk memuaskan hati serta menawarkan pengalaman yang positif kepada pelawat. Tidak kira apa jua bentuk market yang disasarkan, pendapat pengguna merupakan satu komponen yang penting bagi menentukan kejayaan sesebuah laman atau blog. Pelawat yang gembira ketika melayari laman anda kemungkinan besar akan datang semula, mencadangkan laman anda kepada kawan mereka, mendaftar untuk newsletter, membeli produk ataupun bertanya tentang servis anda dan sebagainya.

Oleh itu, ketika membenagunkan laman anda, keputusan anda haruslah berasaskan kepada kemahuan dan keperluan pengguna. Laman anda harus diasaskan berdasarkan fokus kepada pengguna. Namun, kebiasaaannya, pemilik laman akan mudah terbawa-bawa dengan apa yang mereka rasa cantik sekaligus terlupa akan kepentingan pengguna mereka.

Apa yang membuatkan sesebuah laman web itu mesra pengguna? Sebenarnya, terdapat banyak faktor di luar sana yang mempengaruhi keberkesanan sesebuah laman, namun, mari kita mulakan dengan 3 faktor yang terpenting.

Laman Yang Cepat Dipaparkan

Apa yang saya maksudkan ialah kepantasan page load sesebuah laman. Walaupun kini semakin ramai yang menggunakan internet yang lebih laju, namun masih ada yang menggunakan sambungan dial-up yang lebih perlahan. Malah, dengan sambungan internet yang laju, sesetengah laman tetap mengambil masa yang lama untuk dipaparkan. Kebanyakan pelawat agak kurang sabar untuk menunggu laman ini dipaparkan sepenuhnya seterusnya jika page load anda mengambil masa yang agak lama, anda boleh kehilangan prospek pelanggan.

Faktor yang mempengaruhi kepantasan page load ialah bilangan dan saiz imej yang anda paparkan, flash dan macromedia, dan sesetengah kod. Ini semua saya panggil sebagai beban laman dimana ianya akan memberatkan laman anda untuk dibuka. Seeloknya, kurangkan pengguna imej-imej yang terlalu besar serta hiasan lebih menggunakan flash.


Navigasi

Semua pengguna mahu kemudahan untuk pergi dari satu laman ke satu laman untuk mencari maklumat yang mereka kehendaki. Satu faktor yang besar bagi laman web yang mesra pengguna adalah dengan menawarkan navigasi yang mudah dan kemas. Titik navigasi sepatutnya diletekkan di tempat yang konsisten. Contohnya, jika link-link anda pada laman utama ditempatkan di sebelah kiri laman, maka kesemua laman yang lain harus meletakkan link tersebut ditempat yang sama, menggunakan elemen yang biasa digunakan seperti laman Tentang Kami ataupun laman Hubungi Kami.

Sebagai peraturan am, setiap laman haruslah boleh dicapai melalui tidak lebih daripada 2 klik daripada homepage anda. Bagi laman yang lebih besar, mungkin ini agak susah untuk dicapai. Tetapi, anda boleh tawarkan sitemap ataupun carian sitewide bagi membantu pengguna untuk mencari apa yang mereka hajati.


Informasi

Pengguna melayari laman anda kerana mereka inginkan sesuatu. Samada mereka ingin membaca artikel, mencari maklumat ataupun ingin mengambil tahu tentang servis yang anda tawarkan, apa yang penting sekali ialah bagi anda untuk menawarkan informasi yang diharapkan oleh pengguna-pengguna ini.

Laman anda perlu mempunyai maklumat yang lengkap dan mendalam mengenai apa yang mereka harapkan. Kerana itulah mereka melayari laman anda pada mulanya, kerana mereka mempunyai tanggapan bahawa laman anda ada menawarkan informasi yang mereka perlukan. Adalah penting bagi anda untuk tidak menghampakan harapan pengguna anda. Jika mere berpuas hati, mereka akan datang semula ataupun memperkenalkan laman anda kepada rakan-rakan anda. Ini dapat meningkatkan lagi trafik anda, bukan?

Sememangnya ini hanyalah perkara am sahaja. Banyak lagi yang anda perlu titik beratkan bagi membina sebuah laman yang mesra pengguna. Perlahan-lahan tetapi konsisten, kita bina laman yang berkualiti :)


Selasa, 2007 Disember 25

Guna Blog Anda Untuk Mendapatkan Tawaran Menulis Artikel Secara Berbayar


Terdapat ramai pemilik blog yang mencari penulis artikel bagi menambah isi kandungan blog mereka. Pemilik blog ini sanggup membayar penulis-penulis tersebut bergantung kepada panjang artikel dan topik yang diberi. Jika anda mempunyai sebuah blog dan pandai mengarang, anda boleh mengambil kesempatan dengan menawarkan servis anda untuk menulis artikel buat blog-blog lain. Disamping menimba pengalaman, anda juga boleh mendapatkan duit poket lebih.

Apa yang anda perlu lakukan ialah pastikan post di dalam blog anda merupakan artikel-artikel yang anda tulis sendiri. Kemudian, anda boleh gunakan blog tersebut sebagai portfolio untuk ditunjukkan kepada pemilik blog yang berminat. Jika mereka berpuas hati dengan apa yang mereka lihat, mereka pasti mahu anda menghasilkan beberapa artikel untuk blog mereka seterusnya membayar khidmat anda mengikut harga yang anda persetujui.

Seterusnya anda boleh iklankan diri anda agar pemilik-pemilik blog ini tahu bahawa anda menawarkan servis menulis artikel. Anda boleh pergi ke Blogger Job dan daftarkan maklumat anda sebagai penulis artikel. Anda juga boleh iklankan tawaran anda diblog anda sendiri.

Namun, jangan bersetuju untuk menulis terlalu banyak artikel dalam satu masa. Anda masih mempunyai blog anda sendiri yang perlu dikemaskini dari masa ke semasa. Jika anda terlalu sibuk menulis artikel untuk orang lain, blog anda akan terabai. Ini akan merugikan diri anda sendiri kelak kerana jika anda mahu menggunakan blog anda sebagai portfolio, ini bermakna blog anda adalah sebuah aset. Maka, ianya perlu diberi perhatian secukupnya.

Cubalah, mungkin anda boleh menambah lagi sumber pendapatan anda dengan menulis artikel untuk pemilik blog lain.


Selasa, 2007 Disember 18

Guna Gambar Berlatarkan Warna Putih Untuk Blog Anda


Seperti yang anda ketahui, gambar-gambar boleh membuatkan blog anda kelihatan lebih menarik sekaligus menggalakkan pengguna untuk membaca maklumat yang anda paparkan. Namun begitu, untuk memastikan gambar-gambar ini benar-benar sesuai dengan rekaan blog anda merupakan satu cabaran. Tidak kena caranya, ianya akan kelihatan buruk dan menyakitkan mata yang memandang.

Satu cara paling mudah untuk memastikan gambar yang anda paparkan kelihatan cantik dan sesuai ialah dengan menggunakan gambar yang berlatar-belakangkan warna putih semata-mata. Ini akan menjadikan imej yang ingin anda paparkan kelihatan lebih menonjol dan kemas. Di sini saya paparkan 2 contoh gambar.

Lihat perbezaan gambar yang mempunyai latar belakang dengan gambar yang berlatarkan warna putih. Ambil perhatian betapa gambar yang berlatarkan warna putih kelihatan lebih kemas digandingkan dengan isi kandungan blog ini.


Rabu, 2007 Disember 12

Tips Untuk Menjana Trafik ke Blog Anda


Terdapat banyak faktor yang membuatkan blog lebih produktif daripada laman web biasa. Antaranya ialah kepantasan sesebuah blog diindeks dan kemudahan untuk mendaftarkan blog di direktori-direktori, kebolehan untuk ping dan sebagainya. Semua ini boleh membantu pemilik blog untuk mendapatkan trafik lebih ke blog mereka. Dan di sini saya senaraikan tips-tips popular yang boleh anda gunakan:
  1. Karang sekurang-kurangnya 4 post yang mengandungi keyword setiap hari. Kebanyakan blog yang popular seperti Boing Boing dan Daily Kos (di mana mereka mempunyai lebih sepuluh ribu pelawat setiap hari) mempublikasikan kira-kira 30 post pendek setiap hari yang mengandungi lebih kurang 150 perkataan.

  2. Daftar ke My Yahoo! Apabila anda mendaftarkan RSS anda di My Yahoo, ianya akan diindeks oleh Yahoo.

  3. Daftar juga ke Google’s Reader. Dengan ini blog anda akan diindeks oleh Google Blog Search.

  4. Letakkan link direktori di blog anda, kemudian bertukar link dengan agresif. Walaupun cara ini akan mengambil masa lebih berbanding dengan mendaftar di enjin carian dalam satu masa, ianya merupakan satu cara terbaik untuk memastikan anda memperolehi trafik ke laman anda. Anda juga boleh menggunakan software seperti Zeus untuk membantu melancarkan lagi proses penukaran link ini.

  5. Guna laman ping seperti ping-o-matic. Kemudian ping laman anda setiap kali anda menambah post baru.

  6. Daftar blog anda ke enjin carian tradisional seperti Alta Vista dan MSN.

  7. Daftar blog anda di direktori tradisional seperti DMOZ. Direktori-direktori seperti ini akan meningkatkan lagi kredibiliti blog anda di mata Google. DMOZ agak cerewet, tapi apa salahnya mencuba.

  8. Daftar ke direktori-direktori RSS dan enjin-enjin carian sebanyak mungkin. Proses ini mudah sahaja. Malah, ada software yang boleh membantu seperti RSS SUBMIT.

  9. Tinggalkan komen diblog-blog lain. Tapi ingat, jangan pula anda tinggalkan komen malas seperti “Saya setuju” ataupun “Ini post yang bagus”. Sebaliknya komen secara bijak dan menarik di mana ianya akan membuatkan pemilik blog tertanya-tanya dan ingin tahu siapa anda lantaran pergi ke blog anda.

  10. Guna track back. Jika ada blog yang anda guna sebagai rujukan dan ianya amat relevan kepada subjek yang anda bincangkan, jangan teragak-agak untuk meninggalkan track back. Ianya akan meningkatkan populariti blog anda.

  11. Jangan abaikan offline. Guna suratkhabar, papan buletin, kad bisnes dan pelekat untuk mengiklankan kewujudan blog anda.

  12. Letakkan link blog anda pada e-mail signature block anda.

  13. Guna Groups (Usenet). Cari kumpulan yang relevan melalui Google groups, Yahoo groups, MSN groups ataupun beribu-ribu servis yang sama yang ditawarkan di luar sana. Cari pengguna yang sama seperti anda dan berinteraksi dengan mereka. Pastikan anda guna URL blog anda seperti ianya nama anda sendiri.

  14. Manfaatkan forum-forum yang anda. Ini merupakan satu tempat yang sesuai untuk mendapatkan nasihat berguna. Pergi ke forum-forum yang berkaitan dan cari masalah-masalah untuk diselesaikan. Jangan lupa untuk tinggalkan nama blog anda, tapi jangan pula anda kelihatan seperti spam.

  15. Tag laman anda. Cara ini merupakan satu cara yang amat popular kini. Laman-laman seperti Del.icio.us dan Technorati membenarkan anda untuk menempatkan artikel anda di bawah keyword ataupun tag yang membolehkan mereka di dalam tag yang sama untuk melihat blog anda.


Isnin, 2007 Disember 10

Apa Strategi Jangka Masa Panjang Untuk Blog Anda?


Melainkan anda mempunyai penulis sepenuh masa, pereka profesional dan bajet yang banyak untuk mengiklan dan mendapatkan trafik untuk blog anda, proses untuk menjadi popular merupakan proses yang panjang dan tidak akan tercapai dalam masa yang singkat.

Malah, kebanyakan blog yang popular mengambil masa bertahun-tahun untuk menjadi sebuah blog yang benar-benar berjaya.

Untuk memiliki blog yang bagus dan popular, anda perlu menulis dan mengarang tanpa henti setiap hari. Anda mungkin merupakan seorang penulis yang baik hari ini, namun bolehkah anda mengekalkan prestasi sebaik hari ini untuk hari seterusnya… dan seterusnya…

Inilah masalahnya. Untuk jangka masa yang panjang, anda perlukan satu strategi bagi memastikan blog anda tidak terabai. Terdapat tiga faktor yang perlu anda tumpukan iaitu: Inspirasi, motivasi dan fokus.

Inspirasi
  1. Menulis untuk pengguna yang anda sasarkan. Dengan menulis untuk sebuah topik semata-mata merupakan satu jalan yang membawa anda ke kehabisan modal. Maksudnya, satu hari nanti anda sudah memerah topik tersebut dan tiada apa lagi yang boleh anda bincangkan.

    Sebaliknya, karang isi kandungan untuk pengguna sasaran anda. Pastikan siapa mereka dan tulis artikel untuk khas untuk memenuhi permintaan mereka. Dengan cara ini, anda akan mendapat inspirasi untuk menulis.


  2. Sentiasa catat idea anda. Inspirasi merupakan satu faktor penting untuk blog anda. Tanpa inspirasi, anda tidak akan mempunyai kreativiti. Tanpa kreativiti, anda tidak akan ada idea. Oleh itu, anda harus sentiasa catatkan idea-idea anda dari masa ke semasa sebagai persediaan. Dengan ini, anda tidak akan mengalami ‘kekeringan idea’ untuk menulis. Jika pada suatu hari anda terasa ‘kurang kreatif’, buka sahaja buku catatan anda dan kembangkan idea yang anda sudah tulis tersebut.


Motivasi
  1. Berhubung dengan pembaca anda. Dengan menganggap pembaca blog anda sebagai trafik semata-mata, anda akan kehilangan keseronokan untuk menulis. Ini kerana anda tidak benar-benar pedulikan pendapat mereka dan apa yang mereka mahu.

    Ingat, setiap digit yang memaparkan pembaca blog anda merupakan pengguna yang mengambil masa mereka untuk membaca apa yang anda tulis dan perbincangkan. Ambil sedikit masa untuk berinteraksi dengan mereka. Kenali mereka dan lebih bagus lagi, bantu mereka. Aktifkan diri anda dengan membalas komen-komen mereka. Percayalah, ianya berbaloi.


  2. Tetapkan gol jangka masa panjang. Ini akan membantu anda untuk memotivasikan diri anda. Jangan setkan matlamat yang terlalu tinggi sehinggakan anda sendiri rasa ianya seperti mustahil untuk dicapai. Sebaliknya, buatkan matlamat anda seperti sebuah tangga. Contohnya, mula-mula anda setkan matlamat anda untuk mendapatkan 50 pelawat tetap. Apabila anda mencapai matlamat tersebut, anda naikkan lagi matlamat anda kepada 100 pelawat pula. Dengan ini anda akan merasa puas hati kerana mencapai matlamat anda dan bersemangat untuk mencapai matlamat yang seterusnya.


  3. Jana pendapatan. Jika blogging membantu dalam hal kewangan anda, gunakan faktor ini sebagai satu motivasi. Jika tidak, apa salahnya anda mula mencuba. Jika anda sudah mula mencuba tetapi seperti tidak berhasil, cuba guna taktik yang berlainan. Cuba jana pendapatan melalui sesuatu yang benar-benar anda minati. Mungkin anda boleh jadikan hobi anda sebagai satu sumber keuntungan.


Fokus
  1. Blogging mengikut keselesaan anda. Jika anda merasakan menulis post memberi kesan negatif kepada aspek lain di dalam hidup anda, itu maknanya anda tidak melakukannya dengan betul. Apa yang perlu anda lakukan ialah, tanya diri anda sendiri sekerap mana anda mahu menambah post di dalam blog anda. Dan kekerapan ini perlulah kekerapan yang tidak membebankan diri anda sendiri. Boleh jadi anda selesa untuk post seminggu sekali, ataupun tiga hari sekali. Terpulanglah. Yang penting, ianya perlu konsisten. Blogging seharusnya merupakan satu hobi, bukan satu pekerjaan.


  2. Simpan post untuk hari-hari kecemasan. Ada hari di mana anda rasa bosan, tidak sihat ataupun pergi bercuti di mana anda tidak mahu ambil tahu tentang blog anda, apatah lagi mengarang. Hari-hari seperti ini saya panggil ‘hari-hari kecemasan’ di mana anda perlukan isi kandungan agar blog anda tidak terabai.

    Seelok-eloknya, anda karang satu post lebih dalam seminggu untuk sebulan. Dan post-post ini anda simpan untuk ‘hari kecemasan’ tersebut. Mudah dan jimat! Post siap sedia, blog sentiasa terjaga, anda boleh berehat!


Isnin, 2007 Disember 03

Berhenti Memeriksa Statistik Blog Anda Setiap Hari!


Saya masih ingat waktu saya baru pertama kali mempublikasikan blog saya, saya gemar memeriksa statistik blog saya setiap hari. Kadang-kadang lebih dari sekali dalam sehari. Saya gemar merenung nombor statistik tersebut, lebih-lebih lagi jika nombor itu meningkat dari masa ke semasa.

Perkara yang sama berlaku apabila saya memulakan blog kedua saya dan saya mula menggunakan Adsense. Pada masa itu saya akan menggunakan kira-kira 30 minit setiap hari hanya untuk melihat kesemua dashboard blog, ranking di direktori-direktori dan program-program Web Analytics saya.

Sehinggalah suatu hari saya mula sedar dan mendapati apabila saya tambahkan kesuluruhan masa yang saya gunakan untuk memeriksa statistik ini, saya telah membazirkan 15 jam dalam sebulan! Hanya untuk melihat nombor dan ranking semata-mata! Sepatutnya saya manfaatkan 15 jam ini dengan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan hasil yang lebih baik.

Oleh itu, jika anda mempunyai kegemaran seperti ini, berhenti serta-merta! Memanglah, mengambil tahu perihal statistik blog anda itu penting. Tapi, janganlah sehingga berlebih-lebihan pula. Saya faham, jika kita baru hendak berjinak-jinak dengan blogging, statistik ini sememangnya menyeronokkan. Tapi ingat, nombor-nombor ini patut digunakan untuk membantu anda membina blog yang lebih baik. Bukannya untuk membazir masa seterusnya mengkucar-kacirkan pengurusan waktu anda.

Mengkaji nombor-nombor ini perlu dilakukan secara strategik, bukannya secara obsessive. Sebaiknya, bina jadual yang menetapkan waktu tertentu untuk anda memeriksa statistik-statistik ini. Dengan cara ini, anda boleh merancang dengan lebih efektif.

Namun begitu, tidak ada kekerapan yang betul dalam hal memeriksa statistik. Anda boleh melakukannya secara mingguan ataupun bulanan. Terpulanglah. Asalkan jangan terlalu berlebih-lebihan.