Jumaat, 2008 Januari 18

Cara-cara Untuk Menangani Komen-Komen “Cari Gaduh”


Jika anda merupakan seorang pemilik blog yang mempunyai trafik yang tinggi anda mungkin mempunyai pengalaman di mana sesetengah pembaca blog anda meninggalkan komen-komen yang pedas dan berunsur cari gaduh. Di sini saya ingin cadangkan beberapa cara bagi anda untuk menangani komen-komen seperti ini.

  1. Tenangkan diri anda sebelum memberi respon. Kebanyakan mereka yang meninggalkan komen-komen seperti ini sememangnya mengharapkan anda merasa marah dan melawan kata-kata mereka. Jangan terperangkap. Sebaliknya, balas komen mereka selepas anda menenangkan diri anda agar tidak terjadi pergaduhan yang boleh menjejaskan kredibiliti blog anda.

  2. Bertolak ansur dengan kritik daripada pembaca blog anda. Jangan cepat melatah. Ambil pengajaran daripada kritik dan komen-komen yang ditinggalkan.

  3. Bertanggungjawab terhadap post anda. Biasanya pembaca tidak akan meninggalkan komen-komen pedas tanpa sebab. Jika alasan mereka relevan dan membuktikan bahawa anda sememangnya silap, jangan biarkan ego anda menjadi penghalang seterusnya membuatkan anda bersikap seperti menegakkan benang yang basah. Jangan malu untuk meminta maaf.

  4. Jangan buang komen-komen ini serta merta. Kadangkala komen-komen ini boleh membuatkan blog anda kelihatan lebih aktif dan menarik. Walaubagaimanapun, jika komen tersebut mengandungi bahasa yang terlalu kasar dan boleh menyinggung perasaan pembaca lain, sebaiknya padamkan sahaja.

  5. Anda boleh membalas komen-komen ini dengan menukarkan perbualan kepada sesuatu yang lebih positif. Masukkan sekali gurauan bagi mengurangkan kemarahan pembaca tersebut. Respon dengan ramah. Jika kena caranya, apa salahnya bersetuju serba sedikit dengan pandangan mereka.

Jangan lupa, pemberi komen ini semuanya manusia biasa seperti anda juga. Mereka mempunyai perasaan, dan kena pada gaya, anda boleh melembutkan hati mereka dengan komen balas yang bijak. Disamping membuatkan anda kelihatan lebih berintegriti di mata pembaca lain, si pemberi komen juga mungkin akan menjadi pelawat setia blog anda.


0 ulasan: