Jumaat, 2008 Januari 18

5 Perkara Yang Perlu Anda Ketahui Sebelum Memulakan Bisnes Internet Marketing


Bekerja sendiri merupakan impian ramai, apatah lagi jika pekerjaan tersebut boleh dilaksanakan di rumah sahaja. Bayangkan, tidak ada majikan, tidak perlu bersesak di dalam bas setiap hari ataupun melalui kesesakan lalu lintas. Terdapat pelbagai pilihan berkenaan dengan bekerja di rumah yang boleh anda cuba, dan salah satu daripadanya ialah Internet marketing. Dan di dalam post ini, saya ingin terangkan 5 perkara yang perlu anda ketahui sebelum anda mengambil keputusan untuk berkecimpung di dalam Internet marketing.

  1. Internet marketing merupakan sejenis bisnes.
    Sama seperti perniagaan lain diluar sana, ianya akan mengambil masa untuk membangun dan menjana pendapatan tetap. Ramai yang salah anggap dan menyangka dengan membina perniagaan melalui internet, mereka akan dapat menjana keuntungan dalam tempoh masa yang pendek. Jangan bermimpi! Jika betullah Internet marketing boleh membuatkan anda kaya dalam masa 2 hingga 3 minggu sahaja, pastinya sudah ramai jutawan di sekeliling anda.

  2. Ketahui apa yang anda sukai.
    Ini merupakan satu faktor penting. Sia-sia sahaja jika anda berhenti kerja yang anda benci hanya untuk melakukan pekerjaan lain yang tidak anda gemari juga. Satu kelebihan Internet marketing ialah anda boleh memilih niche anda, tidak kiralah samada ianya berkaitan dengan haiwan, sukan, fesyen dan sebagainya. Senaraikan apa kegemaran anda dan pilih satu yang benar-benar anda rasa bersesuaian.

  3. Cari seorang mentor ataupun guru.
    Ini mungkin agak susah kerana internet dipenuhi dengan mereka yang berlagak seperti seorang ‘guru’ tetapi sebenarnya hanya ingin menjual maklumat kepada anda dengan harga yang tinggi. Namun, masih ada mereka yang benar-benar ingin membantu. Apabila anda jumpa seorang mentor yang bagus, pelajari sebanyak yang mungkin dari mereka. Jangan malu untuk bertanya.

  4. Ambil tahu dan jangan memandai-mandai.
    Terdapat pelbagai maklumat, tips dan helah di dalam Internet Marketing. Adalah penting bagi anda untuk betul-betul memahami bagaimana Internet marketing berfungsi. Buat kajian secara mendalam dan dapatkan rekomendasi dan cadangan daripada sumber-sember yang boleh dipercayai. Jangan terus buat sesuatu tanpa fahaman yang menyeluruh kerana ini boleh merugikan diri anda dalam sekelip mata.

  5. Berapa lama masa yang sanggup anda luangkan?
    Seperti yang saya katakan tadi, Internet marketing sama seperti perniagaan lain. Ianya akan mengambil masa sebelum anda mula menjana pendapatan secara stabil. Oleh itu, jika anda sudah mempunyai sebuah perkerjaan, jangan terus berhenti serta-merta. Sebaliknya, luangkan beberapa jam setiap hari untuk memulakan bisnes ini secara konsisten terlebih dahulu.
Nah! Jika anda sedang menimbang-nimbang untuk berkecimpung di dalam bidang Internet marketing, jadikan post ini sebagai panduan. Selamat berjaya!


Cara-cara Untuk Menangani Komen-Komen “Cari Gaduh”


Jika anda merupakan seorang pemilik blog yang mempunyai trafik yang tinggi anda mungkin mempunyai pengalaman di mana sesetengah pembaca blog anda meninggalkan komen-komen yang pedas dan berunsur cari gaduh. Di sini saya ingin cadangkan beberapa cara bagi anda untuk menangani komen-komen seperti ini.

  1. Tenangkan diri anda sebelum memberi respon. Kebanyakan mereka yang meninggalkan komen-komen seperti ini sememangnya mengharapkan anda merasa marah dan melawan kata-kata mereka. Jangan terperangkap. Sebaliknya, balas komen mereka selepas anda menenangkan diri anda agar tidak terjadi pergaduhan yang boleh menjejaskan kredibiliti blog anda.

  2. Bertolak ansur dengan kritik daripada pembaca blog anda. Jangan cepat melatah. Ambil pengajaran daripada kritik dan komen-komen yang ditinggalkan.

  3. Bertanggungjawab terhadap post anda. Biasanya pembaca tidak akan meninggalkan komen-komen pedas tanpa sebab. Jika alasan mereka relevan dan membuktikan bahawa anda sememangnya silap, jangan biarkan ego anda menjadi penghalang seterusnya membuatkan anda bersikap seperti menegakkan benang yang basah. Jangan malu untuk meminta maaf.

  4. Jangan buang komen-komen ini serta merta. Kadangkala komen-komen ini boleh membuatkan blog anda kelihatan lebih aktif dan menarik. Walaubagaimanapun, jika komen tersebut mengandungi bahasa yang terlalu kasar dan boleh menyinggung perasaan pembaca lain, sebaiknya padamkan sahaja.

  5. Anda boleh membalas komen-komen ini dengan menukarkan perbualan kepada sesuatu yang lebih positif. Masukkan sekali gurauan bagi mengurangkan kemarahan pembaca tersebut. Respon dengan ramah. Jika kena caranya, apa salahnya bersetuju serba sedikit dengan pandangan mereka.

Jangan lupa, pemberi komen ini semuanya manusia biasa seperti anda juga. Mereka mempunyai perasaan, dan kena pada gaya, anda boleh melembutkan hati mereka dengan komen balas yang bijak. Disamping membuatkan anda kelihatan lebih berintegriti di mata pembaca lain, si pemberi komen juga mungkin akan menjadi pelawat setia blog anda.


Isnin, 2008 Januari 07

3 Faktor Yang Perlu Ada Pada Laman Mesra Pengguna (User-Friendly)


Gol penting bagi sesebuah laman web ataupun blog adalah untuk memuaskan hati serta menawarkan pengalaman yang positif kepada pelawat. Tidak kira apa jua bentuk market yang disasarkan, pendapat pengguna merupakan satu komponen yang penting bagi menentukan kejayaan sesebuah laman atau blog. Pelawat yang gembira ketika melayari laman anda kemungkinan besar akan datang semula, mencadangkan laman anda kepada kawan mereka, mendaftar untuk newsletter, membeli produk ataupun bertanya tentang servis anda dan sebagainya.

Oleh itu, ketika membenagunkan laman anda, keputusan anda haruslah berasaskan kepada kemahuan dan keperluan pengguna. Laman anda harus diasaskan berdasarkan fokus kepada pengguna. Namun, kebiasaaannya, pemilik laman akan mudah terbawa-bawa dengan apa yang mereka rasa cantik sekaligus terlupa akan kepentingan pengguna mereka.

Apa yang membuatkan sesebuah laman web itu mesra pengguna? Sebenarnya, terdapat banyak faktor di luar sana yang mempengaruhi keberkesanan sesebuah laman, namun, mari kita mulakan dengan 3 faktor yang terpenting.

Laman Yang Cepat Dipaparkan

Apa yang saya maksudkan ialah kepantasan page load sesebuah laman. Walaupun kini semakin ramai yang menggunakan internet yang lebih laju, namun masih ada yang menggunakan sambungan dial-up yang lebih perlahan. Malah, dengan sambungan internet yang laju, sesetengah laman tetap mengambil masa yang lama untuk dipaparkan. Kebanyakan pelawat agak kurang sabar untuk menunggu laman ini dipaparkan sepenuhnya seterusnya jika page load anda mengambil masa yang agak lama, anda boleh kehilangan prospek pelanggan.

Faktor yang mempengaruhi kepantasan page load ialah bilangan dan saiz imej yang anda paparkan, flash dan macromedia, dan sesetengah kod. Ini semua saya panggil sebagai beban laman dimana ianya akan memberatkan laman anda untuk dibuka. Seeloknya, kurangkan pengguna imej-imej yang terlalu besar serta hiasan lebih menggunakan flash.


Navigasi

Semua pengguna mahu kemudahan untuk pergi dari satu laman ke satu laman untuk mencari maklumat yang mereka kehendaki. Satu faktor yang besar bagi laman web yang mesra pengguna adalah dengan menawarkan navigasi yang mudah dan kemas. Titik navigasi sepatutnya diletekkan di tempat yang konsisten. Contohnya, jika link-link anda pada laman utama ditempatkan di sebelah kiri laman, maka kesemua laman yang lain harus meletakkan link tersebut ditempat yang sama, menggunakan elemen yang biasa digunakan seperti laman Tentang Kami ataupun laman Hubungi Kami.

Sebagai peraturan am, setiap laman haruslah boleh dicapai melalui tidak lebih daripada 2 klik daripada homepage anda. Bagi laman yang lebih besar, mungkin ini agak susah untuk dicapai. Tetapi, anda boleh tawarkan sitemap ataupun carian sitewide bagi membantu pengguna untuk mencari apa yang mereka hajati.


Informasi

Pengguna melayari laman anda kerana mereka inginkan sesuatu. Samada mereka ingin membaca artikel, mencari maklumat ataupun ingin mengambil tahu tentang servis yang anda tawarkan, apa yang penting sekali ialah bagi anda untuk menawarkan informasi yang diharapkan oleh pengguna-pengguna ini.

Laman anda perlu mempunyai maklumat yang lengkap dan mendalam mengenai apa yang mereka harapkan. Kerana itulah mereka melayari laman anda pada mulanya, kerana mereka mempunyai tanggapan bahawa laman anda ada menawarkan informasi yang mereka perlukan. Adalah penting bagi anda untuk tidak menghampakan harapan pengguna anda. Jika mere berpuas hati, mereka akan datang semula ataupun memperkenalkan laman anda kepada rakan-rakan anda. Ini dapat meningkatkan lagi trafik anda, bukan?

Sememangnya ini hanyalah perkara am sahaja. Banyak lagi yang anda perlu titik beratkan bagi membina sebuah laman yang mesra pengguna. Perlahan-lahan tetapi konsisten, kita bina laman yang berkualiti :)